KUALA LUMPUR: Public Bank menjadi bank pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menawarkan empat perkhidmatan dompet mudah alih utama selepas memperkenalkan Apple Pay, sekali gus memperluas pilihan pembayaran digital kepada pelanggan.

Pengenalan perkhidmatan itu melengkapkan rangkaian dompet mudah alih Public Bank yang turut merangkumi Samsung Pay, Google Wallet dan Garmin Pay.

Public Bank dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memperkukuh pendigitalan serta membangunkan ekosistem pembayaran yang lebih inklusif bagi memenuhi keperluan dan pilihan pelanggan.

Menerusi Apple Pay, pemegang kad kini boleh membuat pembayaran bagi pembelian harian dengan lebih mudah menggunakan iPhone atau Apple Watch yang serasi tanpa perlu membawa atau mengeluarkan kad fizikal.