KLANG: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu memperkukuhkan kerjasama hospital dengan sebahagian besar klinik kesihatan (KK) di seluruh negara dalam usaha menangani pelbagai isu kesesakan, terutama membabitkan parkir kenderaan dan kekurangan katil pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerjasama itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memfokus klinik kesihatan berhampiran hospital yang menghadapi isu berkenaan.

"Kita ada 152 hospital dan ada 14 hospital yang besar, ini kebanyakan hospital negeri. Kita juga mempunyai 2,617 KK di seluruh negara, termasuk berhampiran kira-kira radius 10 kilometer dengan hospital besar.

"Kita mahu KK berperanan mengurangkan pesakit ke hospital, dengan mewujudkan satu kumpulan pegawai perubatan yang pakar di hospital berhampiran dihantar memberi rawatan kepada pesakit di KK," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.