Putrajaya: Tiada ancaman siber signifikan yang menjejaskan data rakyat atau infrastruktur digital negara dikesan setakat ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, dakwaan mengenai kebocoran data rakyat Malaysia yang dipaparkan di beberapa laman web gelap masih belum dapat disahkan, manakala tiada insiden sedemikian dilaporkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

"Saya mendapat laporan tapi setakat hari ini tidak ada apa-apa ancaman yang terlalu besar sehingga mengakibatkan data rakyat terkesan atau dicuri pada waktu ini.

"Kadang-kadang ia data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak NACSA," katanya kepada pemberita selepas sesi forum Sidang Idea Malaysia (SIM) sempena Festival Idea Putrajaya di sini, hari ini.