KUALA LUMPUR: Di sebalik potensi pelaburan, pertumbuhan pesat infrastruktur digital khususnya pembinaan ratusan pusat data di Malaysia turut meningkatkan risiko negara terhadap ancaman keselamatan siber.

Ini kerana, implikasi buruk mungkin berlaku apabila negara semakin terdedah serangan kumpulan penggodam dan pihak bukan negara atau 'non-state actors' yang berupaya mengeksploitasi kelemahan sistem serta rangkaian digital bagi melancarkan serangan siber.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, mengakui tahap pendigitalan negara yang semakin tinggi turut memperluas ruang atau 'attack surface' yang berpotensi dieksploitasi penjenayah siber.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pusat data tidak semestinya menjadi sasaran langsung serangan siber, sebaliknya kewujudan lebih banyak infrastruktur digital meningkatkan jumlah sistem dan rangkaian yang perlu dilindungi.