Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang membebaskan Nasir Sharif, 64.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan terhadap warga emas atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 19 tahun, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan Nasir Sharif, 64, selaku responden.

“Kami berpendapat hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan berada dalam lingkungan budi bicara yang wajar. Oleh itu, kami memerintahkan agar waran pemenjaraan dikeluarkan untuk responden dipenjarakan,” kata Hakim Ahmad Shahrir, yang menyampaikan keputusan hari ini.