KUALA LUMPUR: Lelaki disyaki menyamar sebagai pegawai pengiring (ADC) Raja Muda Selangor sekali lagi dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesalahan menipu melibatkan kerugian RM155,000, Julai lalu.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 16 November lalu.

Semalam, di hadapan hakim sama, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, turut dihadapkan dengan empat pertuduhan serupa namun mengaku tidak bersalah.