IPOH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengecam tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang menyebarkan dokumen didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata tindakan itu tidak boleh dipandang ringan kerana membuka ruang kepada polemik yang berpotensi meremehkan kuasa pengampunan diraja.

"Tindakan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, mempunyai kedudukan tersendiri yang mesti dihormati."

"Dalam hubungan ini, UMNO Perak mempersoalkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan, termasuk pihak yang memberikan kelulusan, asas perundangan yang digunakan serta sama ada perkara itu sudah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan," katanya dalam kenyataan, hari ini.