Najib Razak dipindahkan ke tahanan rumah pada 10 Nov menerusi pengampunan bersyarat selepas denda RM50 juta dalam kes SRC International dilunaskan.PETALING JAYA: Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh membantah keputusan membenarkan Najib Razak menjalani tahanan rumah menerusi pengampunan bersyarat, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dinyahklasifikasi.
Menurut minit itu, Dusuki berpandangan bekas perdana menteri berkenaan perlu menghabiskan hukuman penjaranya yang telah dikurangkan dan dijadual berakhir pada Ogos 2028.
Beliau menegaskan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan tahanan rumah, selain berpandangan langkah itu boleh memberi kesan kepada kestabilan politik, imej Malaysia di peringkat antarabangsa, pelaburan dan ekonomi negara.









