Kuala Lumpur: Kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di China menyaksikan kedudukan Harimau Malaya kekal di tangga ke-133 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Kedudukan itu sama seperti kemas kini terdahulu pada 7 Oktober lalu, sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe masih mengekalkan posisi berkenaan meskipun mengharungi dua aksi antarabangsa pada jendela November.

Perkembangan terbaharu itu turut dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasmi badan induk berkenaan hari ini.

Dalam aksi pertama di China, Harimau Malaya terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada tuan rumah sebelum bangkit menampilkan reaksi positif dengan menewaskan Yaman 2-1 dalam perlawanan kedua.