Kuala Lumpur: Seramai 2,232 mangsa daripada 630 keluarga ditempatkan di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di lima negeri susulan banjir setakat 6 petang, hari ini.

Berdasarkan data terkini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri yang terjejas banjir ialah Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Selangor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,480 orang daripada 386 keluarga kini ditempatkan di 10 PPS di tiga daerah yang dibuka sejak 29 Oktober lalu.

Ia diikuti Perak dengan seramai 642 mangsa daripada 214 keluarga yang kini ditempatkan di lapan PPS di lima daerah.