WALAUPUN tanpa kelibat sebahagian besar tonggak utama negara, Harimau Malaya tetap optimis untuk mencatat keputusan positif menjelang dua aksi persahabatan menentang China dan Yemen nanti.
Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe menerima berita kurang gembira apabila enam pemain Selangor FC menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan selain tidak menyenaraikan pemain-pemain penting dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau berkata, pertemuan menentang China dan Yemen cukup penting buat Harimau Malaya kerana ia mampu menjadi persediaan bagi menghadapi aksi lebih mencabar pada saingan musim depan.
Jelas Cheng Hoe, rentak positif yang dipamerkan ketika saingan Piala ASEAN FIFA September lalu perlu dikekalkan bagi memastikan skuad bola sepak kebangsaan berada pada landasan terbaik menjelang kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.








