Nigeria: Seorang lelaki yang disangka meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan motosikal dilaporkan tersedar di bilik mayat dengan muka dan badannya masih disaluti serbuk putih yang digunakan pada mayat, lapor Metro UK.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu dikatakan terbabit dalam kemalangan berhampiran Evwreni, Delta, Nigeria, sebelum dibawa ke bilik mayat pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, lelaki itu dilaporkan kembali sedar sehingga mengejutkan orang ramai yang berada di lokasi.
Rakaman kejadian yang dikongsi di media sosial dipercayai menunjukkan lelaki itu bangun dengan serbuk putih masih meliputi muka dan badannya.








