BESUT – Seorang kontraktor berputih mata kerugian RM44,800 akibat diperdaya tender pembekalan peralatan di sebuah institusi pendidikan di daerah ini yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, pada mulanya, wanita berusia 50 tahun itu telah dihubungi individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri kononnya wakil institusi pendidikan tersebut.

“Suspek telah menawarkan mangsa tender pembekalan kerusi dan meja kantin bagi institusi pendidikan berkenaan.

“Mangsa tertarik dengan tawaran tender yang didakwa bernilai RM112,000 tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, kontraktor berkenaan membuat tempahan kerusi dan meja kantin tersebut kepada syarikat pembekalan dicadangkan suspek.