KUALA NERUS: Jika sebelum ini kira-kira 100 meter memisahkan kedai keropok lekor milik Roshaila Abdullah dengan pantai, namun hakisan yang semakin serius sejak tahun lalu menyebabkan jaraknya kini hanya tinggal kira-kira empat meter.
Roshaila, 41, yang mengusahakan kedai berkenaan di Kampung Pantai Batu Rakit sejak lebih 20 tahun lalu berkata, keadaan itu semakin membimbangkan terutama ketika hujan lebat disertai angin dan air pasang.
Katanya, kedai yang turut menjadi sebahagian daripada rumahnya itu kini berdepan risiko hakisan teruk sehingga menyebabkan keluarganya sentiasa berasa bimbang.
“Sekiranya hujan bersama angin dan air pasang, memang kami risau kerana tanah di belakang kedai semakin terhakis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.









