KOTA KINABALU: Panggilan telefon seawal jam 4.37 pagi menjadi detik hitam meragut ketenangan hati seorang ibu apabila dimaklumkan anak perempuannya, Zara Qairina Mahathir, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lantai asrama sekolahnya sebelum dikejarkan ke hospital.
Perkara itu didedahkan ibu mangsa, Noraidah Lamat di Mahkamah Koroner di sini bahawa dia berada dalam keadaan panik, sedih dan menangis selepas menerima panggilan daripada Ustaz Rezany pada 16 Julai 2025, memandangkan beliau sukar mencerna apa yang sebenarnya berlaku selain buntu bagaimana untuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
"Saya menunggu sehingga hari siang. Selepas itu, saya mengumpulkan kekuatan untuk memandu sendirian ke Hospital Queen Elizabeth tanpa ditemani sesiapa dalam keadaan hujan ketika itu," katanya.








