asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jerebu terus menjejaskan negara apabila 38 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 1 tengah hari ini, ketika kebakaran hutan dan tanah di Indonesia masih berterusan.
Antara kawasan merekodkan bacaan tertinggi ialah Segamat dengan IPU 189, diikuti Seremban (185), Nilai (184), Kluang (181), Johan Setia (179), Rompin (177), Larkin dan Pasir Gudang masing-masing 175 serta Cheras (174).
Sebanyak 30 kawasan lain pula merekodkan IPU sederhana, antaranya Kulim Hi-Tech (99), Tawau (98), IPD Serian (97), Balik Pulau (95), Alor Setar (94), Kangar (92), serta Samarahan dan Kuching masing-masing 91.
Situasi itu berlaku ketika Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan sebanyak 1,176 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara itu setakat jam 9 malam semalam waktu tempatan.










