Singapura: Badan induk sukan permotoran dunia berkata jerebu rentas sempadan akibat kebakaran di Indonesia yang menyebabkan tahap pencemaran udara di Singapura mencecah paras tidak sihat, hari ini, tidak mengancam penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) hujung minggu ini.

Kualiti udara di Singapura sekali lagi melepasi paras ditetapkan sehingga menjadikannya antara bandar paling tercemar di dunia, menurut pemantauan syarikat berpusat di Switzerland, IQAir.

"Paras kualiti udara sedang dipantau pihak berkuasa tempatan berkaitan dan langkah-langkah kecemasan sewajarnya sudah tersedia sekiranya keadaan bertambah buruk," kata Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam kenyataan kepada AFP.

FIA berkata sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, 'bergantung kepada tahap pencemaran, mungkin terdapat beberapa sekatan terhadap aktiviti luar yang lebih tertumpu kepada aktiviti hiburan berbanding kawasan Paddock dan litar'.