KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebanyak 28 kes kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan sehingga Ogos tahun ini.

"Pada malam Hari Kebangsaan lalu, seramai empat orang maut termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, dalam nahas di LPT1, Temerloh.

"Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan," katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.