KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa kesal dalam soal hubungan Malaysia dan Indonesia yang menjadi perhatian selepas timbul kontroversi membabitkan seorang pelakon dari seberang.
Menerusi hantaran Instagram (IG), Sharnaaz pada mulanya mahu mengelak daripada mengulas isu terbabit, namun, merasakan tindakan itu sudah keterlaluan dan perlu dihentikan segera.
"Macam inilah, aku memang tak nak buat pun buat video pasal benda ini. Tetapi, aku rasa benda ni terlampau banyak. Pertamanya, aku ada tengok video pasal pelakon Indonesia yang cerita pasal sejarah kita. Dia mengajar kita pasal sejarah kita," ujarnya.
Meskipun menyifatkan tindakan pelakon seberang itu mencerminkan mentaliti individu terbabit, Sharnaaz menegaskan dia tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak kerana pergaduhan berkenaan tidak akan membawa sebarang penyelesaian.








