PETALING JAYA: Hong Leong Bank Bhd. (HLB) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh pada kadar lima peratus pada 2027, disokong permintaan domestik yang kukuh, sektor perkhidmatan digital serta pelanjutan pelbagai program bantuan bersasar di bawah Belanjawan 2027.

Unjuran berkenaan adalah selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus, selain turut didorong oleh momentum pelancongan sempena kempen Melawat Malaysia, Sukan SEA 2027 dan LIMA 2027.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, langkah kerajaan menstabilkan kedudukan fiskal negara menerusi penguncupan defisit kepada 3.3 peratus daripada KDNK atau RM77.5 bilion mewujudkan asas kewangan yang lebih kukuh dalam mendepani ketidaktentuan global.