KUALA LUMPUR: Pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memperkukuh grid nasional, yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 hari ini, memenuhi keperluan kritikal bagi menjamin bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan menyokong perkembangan sektor perindustrian.
Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest Holdings Bhd, Datuk Davis Chong Chun Shiong, berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan TNB untuk memajukan grid pintar, pengurusan tenaga digital dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berskala utiliti.
Katanya, usaha itu bertujuan memenuhi permintaan korporat yang semakin meningkat, susulan pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dipercepatkan.
"Solarvest komited untuk menyokong penggunaan tenaga bersih di hab ekonomi utama ini daripada ekosistem semikonduktor di Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah sehinggalah ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Perak serta pembangunan pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI) di Selangor dan Johor.









