PETALING JAYA: Pertambahan peruntukan pendidikan menerusi Belanjawan 2027 perlu disertai pelaksanaan berkesan dan ukuran keberhasilan yang jelas bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat.

Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (Asabina), Rosdi Amir berkata, perbelanjaan pendidikan perlu meningkatkan mutu pembelajaran, memperkasa pendidik serta merapatkan jurang peluang antara kelompok masyarakat.

Menurutnya, keutamaan di peringkat sekolah perlu diberikan kepada penguasaan membaca, menulis dan mengira.

Katanya, murid yang menghadapi kesukaran pembelajaran perlu dikenal pasti lebih awal serta diberikan bimbingan bersesuaian supaya kelemahan asas tidak berlarutan hingga menjejaskan peluang melanjutkan pengajian.