Petaling Jaya: Ketika individu seusianya berehat di rumah dan bermain dengan cucu, Tan Guan Poh atau mesra disapa Uncle GP masih aktif dengan kerja sambilannya sebagai 'perawat mainan' walaupun umurnya sudah mencecah 77 tahun.
Khidmat ditawarkan Uncle GP mendapat permintaan hingga ramai mencarinya untuk membaiki dan memberi 'nyawa' kedua buat mainan mereka yang sudah rosak malah ada yang menggelarkannya 'Doctor Toys' kerana kepakarannya itu.
Menceritakan kisahnya, Uncle GP yang menetap di USJ 14 di sini, berkata, dia pernah bekerja sebagai jurutera proses di sebuah kilang elektronik selama 10 tahun iaitu bermula awal 80-an hingga 1991.
Katanya, pengalaman mengendalikan barangan elektronik itu enggan disia-siakan dan digunakan untuk bekerja di bawah Zero Waste Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di pusat hab komuniti kelestarian dikenali The Xchange di PARC, di sini.








