Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
FASA usia emas sering dianggap sebagai musim menuai ketenangan bersama pasangan selepas puluhan tahun membina kehidupan dan keluarga.
Namun, tempoh perkahwinan yang panjang bukan jaminan sesebuah rumah tangga mampu bertahan hingga ke hujung nyawa apabila semakin ramai pasangan memilih perceraian pada usia senja.
Perceraian pada usia emas bukan sekadar menamatkan sebuah perkahwinan, malah boleh menjadi titik perubahan besar yang sukar dihadapi selepas puluhan tahun kehidupan dilalui bersama.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahmud, berkata kesan emosi perceraian terhadap pasangan usia emas lazimnya lebih sukar dikawal berikutan mereka sudah melalui sebahagian besar kehidupan bersama pasangan.









