KUALA LUMPUR – Berdepan provokasi berterusan dari seberang, pelakon Kamal Adli menyeru rakyat Malaysia agar jangan cepat melatah dengan terjebak dalam ‘perang’ media sosial.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berharap rakyat Malaysia tidak terikut-ikut budaya kecam-mengecam yang hanya menyemarakkan api permusuhan hingga maruah negara menjadi taruhan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia sudah suarakan apa yang sepatutnya. Tiba masanya kita bertenang, jadi saya rasa kita patut hentikan provokasi.

“Biar mereka dengan bayang-bayang sendiri. Cukuplah. ‘Level’ (tahap) kita bukan macam ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert Cuckootopia dan AMT2026.