KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1.7 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi memenuhi keperluan pembiayaan pelbagai kumpulan sasar akan memperkukuh peranan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai peneraju pembiayaan mikro negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, berkata peruntukan itu akan memberi manfaat kepada belia, pekerja ekonomi gig, penjaja dan komuniti rentan.

"Bagi BSN, kejayaan inisiatif ini bukan sekadar diukur melalui jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi sejauh mana pembiayaan tersebut mampu membantu usahawan mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan dan membina kedudukan Kewangan yang lebih kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyambut baik peruntukan pembiayaan RM270 juta bagi membantu pekerja gig mengembangkan perniagaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama.