PETALING JAYA: Sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti dijangka terus menjadi pilihan utama dan tunjang pasaran di Bursa Malaysia pada minggu ini, biarpun FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) berdepan ketidaktentuan ekoran tekanan geopolitik global dan jualan berterusan pelabur asing.
Kedua-dua sektor berwajaran tinggi itu kekal menjadi buruan pelabur berikutan pendedahan kukuh kepada permintaan domestik yang berdaya tahan, sekali gus berfungsi sebagai perisai defensif apabila sentimen pasaran luaran berdepan risiko.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, dari sudut pemilihan saham, lima sektor utama merangkumi perkhidmatan kewangan, utiliti, perladangan, telekomunikasi dan pembinaan terus mendominasi keutamaan pelabur berdasarkan saiz modal pasaran yang besar.








