Kuching: Kerajaan Sarawak meneruskan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus sepanjang tahun ini dan subsidi bulanan RM5 bagi bil air untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata langkah bantuan bersasar itu bertujuan melindungi pendapatan boleh guna rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, diskaun bil elektrik yang berkuat kuasa dari Januari hingga Disember 2027 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 716,000 pengguna domestik di seluruh negeri, dengan implikasi kewangan berjumlah RM281 juta.
"Subsidi bulanan RM5 bagi bil air menerusi program air percuma akan memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM35 juta," katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.









