SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tiada kompromi terhadap prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam di negeri ini selepas pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Baginda bertitah, ketepatan masa dan frekuensi kutipan sampah perlu dikekalkan tanpa sebarang kemerosotan selepas perjanjian berkaitan pelaksanaan akta itu dimeterai.
Titah baginda, perkara itu penting memandangkan jumlah penduduk Selangor yang besar bergantung kepada perkhidmatan berkenaan di seluruh negeri ini.
“Selepas perjanjian ini ditandatangani, tidak ada sebarang kompromi serta kemerosotan dari segi prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam, termasuk dari segi ketepatan masa dan frekuensi kutipan,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.








