PETALING JAYA – Penggunaan peranti pintar yang dilengkapi ciri pemantauan kesihatan dan pengesanan kecemasan serta pembangunan pangkalan data bersepadu antara agensi merupakan antara pendekatan yang diterima guna oleh pihak berkaitan bagi mengawal sebarang kes kematian sunyi.
Pensyarah kanan di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Hapsah Md Yusof berkata, Malaysia boleh mencontohi Jepun yang telah lama menerima guna pelbagai pendekatan bagi menjaga kebajikan warga emas mereka termasuk menangani kematian sunyi.
“Pengalaman Jepun menangani fenomena kodokushi atau kematian bersendirian menunjukkan teknologi perlu bergerak seiring dengan sistem penjagaan komuniti, lawatan berkala serta pendaftaran warga emas di peringkat pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Bernama.






