KUALA LUMPUR: Agensi pelancongan umrah tempatan terus memantau perkembangan situasi di Riyadh, Arab Saudi, serta status penerbangan ke Jeddah dan Madinah bagi memastikan keselamatan jemaah Malaysia yang dijadualkan menunaikan ibadah umrah.
Pengasas Dai Aiman Travel Sdn Bhd, Aiman Sufyan Aezman, berkata pihaknya telah menghubungi syarikat penerbangan AirAsia dan dimaklumkan setakat ini tiada perubahan jadual penerbangan.
"Pihak agensi akan terus menunggu arahan daripada kerajaan Malaysia, pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi dan syarikat penerbangan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
"Kalau mereka beri arahan untuk kekal di sesuatu lokasi dan tidak ke mana-mana, kita akan ikut arahan," katanya ketika dihubungi hari ini.









