KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia hari ini menunaikan janjinya menyumbang RM50,000 kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas kejayaan bersejarah The Golden Tigers meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar melihat kejayaan itu memberi inspirasi kepada anak muda untuk mengikut jejak mereka.

"Seluruh skuad memberikan rakyat Malaysia satu detik yang amat membanggakan. Di sebalik pencapaian ini ada latihan bertahun-tahun, pengorbanan dan semangat berpasukan, serta sokongan keluarga, jurulatih dan pengurusan yang sentiasa bersama mereka.

"Kami berbesar hati menunaikan janji ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu PSM membimbing lebih ramai bakat muda untuk melangkah lebih jauh," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia di McDonald's Pandu Lalu Titiwangsa, hari ini.