BAGAN SERAI: Pembalakan dan penukaran guna tanah hutan kepada ladang serta pembangunan lain mengancam kelangsungan primat apabila habitat dan sumber makanan haiwan berkenaan semakin berkurangan.

Pakar taksonomi dan biodiversiti tempatan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, kemusnahan habitat akibat kegiatan manusia memberi tekanan kepada Orang Utan serta primat lain, termasuk kera dan beruk.

“Apabila tempat tinggal haiwan ini semakin mengecil dan berkurangan, populasi serta sumber makanan juga berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada penutup Persidangan Antarabangsa Bukit Merah mengenai Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan (BM Primat2026) di Bukit Merah Laketown Resort di sini semalam.