KUALA LUMPUR: Mohamad Suhaimi Mohd Salim tidak menyangka kecederaan pada tangannya akibat terkena pisau semasa mengopek durian di rumah, tetap melayakkan dia menerima faedah perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menerusi skim LINDUNG 24 Jam.

Insiden yang berlaku jam 5.26 petang pada 17 Julai lalu di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, mengakibatkan urat daging di antara ibu jari dan jari telunjuk tangan kirinya terputus, dan memerlukan wakil jualan sebuah syarikat swasta ini menjalani rawatan susulan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, selain diberikan cuti sakit selama 23 hari bermula 18 Julai.

Tidak cakna faedah PERKESO, Mohamad Suhaimi, 42, mencuba nasib membuat tuntutan melalui portal pertubuhan itu dan terkejut apabila permohonannya diluluskan.