KLANG – Pagar yang menghalang kemasukan jentera dikenal pasti antara kekangan kerja pembersihan parit besar di Bandar Sultan Suleiman di sini.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata, kerja pembersihan secara manual oleh kontraktor yang dilantik telah dimulakan sejak 8 Oktober lalu susulan aduan orang ramai di media sosial.
Bagaimanapun katanya, kerja pembersihan menggunakan mesin berdepan kekangan apabila struktur fizikal kawasan longkang yang berpagar menyukarkan jentera memasuki lokasi berkenaan.
“Justeru, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK mengarahkan kontraktor membuka pagar berkenaan buat sementara waktu bagi membolehkan jentera memasuki kawasan itu untuk menjalankan kerja pembersihan menyeluruh dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.









