Melaka: Demi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Nor Azman Hassan memilih untuk mengisytiharkan 'gencatan senjata' dengan mengetepikan perselisihan demi kepentingan parti.

Beliau mengakui pernah berlaku konflik dengan penyandang kerusi DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, namun perkara itu dijernihkan selepas beliau mengambil inisiatif bersemuka dengan wakil rakyat berkenaan bagi menyatukan gerak kerja menghadapi PRN.

Nor Azman berkata, ketika ini bukan masanya untuk membangkitkan perbezaan atau perselisihan dalaman kerana semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tidak lama lagi.