KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 tidak seharusnya menjadi satu-satunya penanda aras pembaharuan pendapatan pekerja.

Sebaliknya, langkah itu perlu disusuli pembentukan struktur gaji lebih menyeluruh bagi memastikan graduan dan pekerja berkemahiran menerima bayaran setimpal dengan kelayakan serta pengalaman mereka.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pengenalan kadar RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan menerusi Belanjawan 2027 menjadi langkah awal ke arah pembaharuan struktur pendapatan negara.

Beliau berkata, antara isu utama yang perlu ditangani ialah pemampatan gaji, iaitu keadaan apabila jurang pendapatan antara pekerja dengan tahap kemahiran berbeza semakin mengecil.