Kuala Lumpur: Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu anak lelakinya berusia 12 tahun ke ibu pejabat agensi itu dan kemudiannya dimaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit tidak perlu hadir atau menandatangani sebarang dokumen.
Menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya hari ini, Saravanan berkata, perkara itu hanya dimaklumkan selepas beliau dan anaknya tiba di ibu pejabat SPRM pada Isnin.
"Jika dia tidak perlu hadir, mengapa perkara ini tidak dijelaskan lebih awal sebelum seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dibawa ke ibu pejabat pencegah rasuah?" katanya.
Saravanan sebelum ini mengkritik penjelasan SPRM berhubung kehadiran anaknya itu yang disifatkannya sebagai 'sama sekali tidak masuk akal'.






