KUALA LUMPUR: Menyimpan impian mengadakan konsert berskala besar sejak menghasilkan album pertama, penyanyi Amir Masdi memilih untuk melangkah setapak demi setapak dengan menjadikan AM:PM Showcase sebagai batu loncatan sebelum merealisasikan hasrat itu.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 29, berkata showcase sulungnya yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Disember depan menjadi medan menilai kesediaan diri, selain memahami selok-belok mengendalikan persembahan lebih besar.
Mengakui konsert berskala besar memerlukan persediaan rapi, beliau tidak mahu terburu-buru merealisasikan impian itu tanpa mengambil kira pelbagai aspek, termasuk teknikal dan kemampuan mengendalikan keseluruhan persembahan.









