DIKENALI sebagai seorang berperwatakan 'introvert' sejak sekolah, siapa sangka penyanyi, Amir Masdi kini sudah mencipta nama dalam industri seni selepas menempuh perjuangan selama sedekad.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 29, mula menjejakkan kaki dalam dunia hiburan melalui program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-13 pada 2016.
Menurut Amir, pentas Akademi Fantasi menjadi titik permulaan karier nyanyiannya selepas dipujuk sebanyak tiga kali oleh ibu tercinta untuk menyertai uji bakat berkenaan.
"Di situlah lahirnya seorang Amir sebagai penyanyi kerana kalau tiada AF, saya tidak akan menyanyi. Jujurnya, sebab mengapa saya hadir ke uji bakat AF adalah kerana mak minta saya masuk uji bakat itu sebanyak tiga kali.








