KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93, seramai 23 pesakit warga ATM yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan menerima sumbangan kebajikan daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT).
Unit Komunikasi Korporat Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, berkata sumbangan diberikan kepada pesakit di Wad Pediatrik serta Wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
"Sumbangan kebajikan yang disampaikan diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima, di samping memberikan sokongan dan semangat kepada mereka untuk terus kuat menjalani proses rawatan dan pemulihan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Unit Komunikasi Korporat itu berkata, sumbangan disampaikan sempena Lawatan Kebajikan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) yang dihadiri Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Puan Sri Siti Juana Md Ibrahim dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin yang berkesempatan menyantuni pesakit serta keluarga mereka.










