NEW DELHI: Rory McIlroy dan juara bertahan, Tommy Fleetwood memulakan saingan Kejohanan DP World India dengan langkah kiri apabila ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu, Niklas Norgaard selepas pusingan pertama yang terjejas akibat hujan lebat, semalam.

Pemain Denmark itu mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat enam birdie dan satu eagle berbanding dua bogey untuk mengumpul enam pukulan di bawah par, 66, sekali gus menguasai kedudukan pendahulu.

Tom McKibbin dari Ireland Utara, Thomas Detry dari Belgium dan Eugenio Chacarra dari Sepanyol berkongsi kedudukan kedua selepas masing-masing mencatat lima pukulan di bawah par.

Pemenang enam gelaran utama, McIlroy menamatkan pusingan dengan dua pukulan di bawah par, 70, untuk berkongsi kedudukan ke-13 selepas mencatat birdie di lubang kedua, ke-13, ke-15 dan ke-18 selain melakukan dua bogey.