IPOH: Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi dan kedudukan strategik Perak sebagai antara negeri yang mampu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengiktirafan itu dapat dilihat menerusi perhatian khusus yang diberikan kepada dua daripada lima nod pertumbuhan utama negeri, iaitu Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), selain kelulusan tujuh daripada sepuluh projek keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.

Secara keseluruhannya, beliau melihat belanjawan itu sebagai satu perkembangan yang bermakna kepada Perak, khususnya dalam memperkukuh agenda pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.