TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memohon maaf selepas tersilap mengeluarkan amaran gempa bumi paling dahsyat berukuran 9.9 skala Richter kelmarin, sebelum ia ditarik balik beberapa minit kemudian.

Amaran berkenaan mencetuskan bunyi amaran kecemasan pada jutaan telefon bimbit selepas JMA memaklumkan gempa bumi itu berlaku berhampiran Kepulauan Kuril, yang dikenali di Jepun sebagai Kepulauan Chishima.

Bagaimanapun, JMA kemudian menjelaskan gempa bumi sebenar berukuran 6.9 skala Richter berlaku berhampiran Semenanjung Kamchatka, Russia, pada kedalaman 160 kilometer (km) sejurus selepas tengah hari.

Pegawai JMA, Shinya Tsukada, berkata agensi itu memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang dicetuskan oleh amaran berkenaan.