GOMBAK: Harga tambang penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan transit kelas ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu bermula daripada RM125 di bawah mekanisme harga dinamik, dengan kadar pertengahan bagi laluan sama ditetapkan sekitar RM156 sehala.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata harga tiket boleh berubah mengikut waktu pembelian, permintaan dan musim puncak, manakala mekanisme intervensi turut tersedia sekiranya kadar tambang meningkat terlalu tinggi.

"Pendekatan itu yang menyerupai amalan penetapan harga dalam industri penerbangan, membolehkan penumpang yang merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu perjalanan tertentu mendapatkan tambang lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan tiket," katanya pada sidang media pengumuman kadar tambang ECRL di sini, hari ini.