KUALA LUMPUR: Nasib tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, terus menimbulkan kebimbangan apabila haiwan itu didakwa menunjukkan tanda tekanan emosi serius, sekali gus mencetuskan gesaan supaya dibawa pulang segera ke tanah air.
Lebih membimbangkan, Kelat, gajah jantan dalam kumpulan itu, dilaporkan mengalami episod musth atau fasa peningkatan hormon pembiakan sebanyak enam hingga tujuh kali dalam tempoh tujuh bulan sejak tiba di zoo berkenaan pada Mac lalu.
Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kebajikan dan kualiti hidup ketiga-tiga haiwan berkenaan yang sepatutnya mendapat penjagaan bersesuaian dengan keperluan semula jadi mereka.









