Bangi: Seramai 500 penerima asnaf sekitar Bandar Baru Bangi menerima bakul makanan menerusi Majlis Penyerahan Bakul Makanan Wakalah Zakat dianjurkan Yayasan Imanulfa'izin (YIF) dengan kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), semalam.

Agihan bakul makanan itu melibatkan peruntukan wakalah zakat sebanyak RM100,000 yang diagihkan kepada 500 asnaf terpilih bertempat di Masjid Al-Hasanah.

Ketua Pegawai Eksekutif YIF, Fawaz Abdul Hamid Dahlan berkata, objektif utama pihaknya bukan sekadar menjalankan program bersifat satu-satu masa, malah meneliti kelayakan asnaf secara adil dan telus.

Fawaz berkata, pihaknya komited untuk mengekalkan program bantuan secara konsisten dan berterusan, bukan hanya sempena Ramadan atau bulan tertentu.