GUAYAQUIL, Ecuador – Sebuah komuniti gereja di bandar pelabuhan ini digemparkan dengan satu insiden tragis apabila seorang paderi maut dihempap oleh sebuah salib kayu gergasi ketika sedang memimpin upacara keagamaan secara siaran langsung di media sosial pada Sabtu lalu.

Memetik laporan daripada portal berita antarabangsa Fox News, mangsa yang dikenali sebagai Pastor Patricio Alfredo Sánchez Molinari, 58, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di tempat kejadian di Gereja Nuestra Señora del Perpetuo Socorro.

Ketika kejadian, mangsa yang sedang berdiri di altar menghadap jemaah secara tiba-tiba dihempap oleh struktur salib kayu yang besar dari arah belakang selepas ia terlepas daripada cengkamannya pada dinding.