KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit mempertahankan pandangannya bahawa tindakan menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit yang disabitkan kes rasuh sebagai perbuatan paling bodoh dan tidak bermoral.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak memohon maaf susulan mengemukakan kenyataan itu dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini, sehingga mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

"Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf.

"Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut," katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, hari ini.