am@hmetro.com.my

Pontian: "Saya dah beritahu tak payah pergi sebab sekolah tutup hari ini. Tapi mereka berdua beria-ia dan berkeras hendak pergi juga," kata Julaiha Munaji, ibu kepada tiga beradik yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Sirat, di sini, pagi hari ini.

Menurutnya, kerana dua anaknya itu berkeras mahu ke sekolah, abang mereka tolong hantarkan untuk puaskan hati dan tunjuk memang sekolah tutup.

"Tapi apakan daya, dalam perjalanan pulang mereka terbabit kemalangan." katanya.

Menurut Julaiha, 42, dia sudah memaklumkan kepada anaknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, supaya tidak perlu ke sekolah kerana semua sekolah di Johor ditutup susulan jerebu.